Archive for May, 2009

Kisah saman untuk masa depan

1.

Seorang polis trafik yang tiba-tiba keluar entah dari celah mana menahan aku. Sudah terlambat untuk menarik sitbelt. Katanya, “Wah-wah, selamba tak pakai sitbelt ye?”

Aku menjawab, “Jalan kampung, cik. Lagipun hari ini bukankah cuti umum? Cik kerja juga? Tidak cuti?”

Polis trafik itu membalas, “Tidak. Minta aisi dan lesen.” Kemudian dia menulis sesuatu, dan menghulurkan buku samannya kepadaku, dan berkata, “Sain sini.”

Aku tersengih dan kataku, “Wah, polis pun minta autograf saya.”

Dia membalas, “Lepas ini hati-hati, ya. Saman ini mungkin tiada diskaun kerana ops sikap masih berjalan. Selamat hari raya cina.”

2.

Saman itu aku tunjukkan kepada ustaz di sana. Dia mengambil surat saman itu dariku. Katanya, “Kira setel.”

3. Setahun empat bulan kemudian

Gadis kerani pejabat pos itu memandangku, dan berkata, “Encik tidak boleh memperbaharui cukai jalan ini, lesen encik disekat oleh JPJ.”

Aku mengerutkan dahi. Bertanya, “Iya? Bila? Tidak mengapa, nanti saya semak. Terima kasih.”

Aku bergegas ke makmal komputer universiti. Terus ke laman MyEG, dan menyemak status saman dengan JPJ. Tiada. Polis? Wah! Saman setahun empat bulan yang lalu.

Adakah kalau aku membawa duit empat puluh sen dan memandang langit seperti Saleh (dalam posting yang lepas) di kaunter bayaran saman, kerani bertugas akan memberi diskaun?

Kenangan tak terlupakan

Sarah bingkas dari tidur. Berpeluh-peluh. Kemudian dia teresak-esak menangis. Datang seorang gadis, menggosok-gosok belakangnya, bertanya, “Kenapa, Sarah?”

Dalam esak, Sarah menjawab, “Kaklong, Sarah lupa wajah arwah mama.”

Gadis itu memeluk Sarah. Kemudian dia turut sama menangis. “Kaklong juga, kaklong juga.”

~~~

Begitulah, ada perkara yang kita berjanji kepada diri, bahawa kita tidak akan lupa. Namun pada suatu masa, kita dapati kita tidak ada walau sepicing memori tentangnya.

Begitu juga, ada perkara ingin kita lupa, namun kenangannya sentiasa menjelma, menyeksa jiwa.

~~~

Terima kasih adik-adik di Sungai Ruil, kerana mengembalikan memori indah yang hampir luput di ingatan.

Sebuah Kisah Keropok Untuk Masa Depan

[Tribute untuk amarkun yang sudah tidak lagi berblog.]

Saleh menaip sesuatu di telefonnya. ‘Tak pergi’, dan dia menghantar mesej tersebut. Kemudian dia menggenggam erat telefonnya. Tiba-tiba telefonnya bergetar, menandakan ada mesej baru diterima. Dia membacanya, ‘Kenapa? Semua yang lain hadir ke kenduri ini nanti’. Segera dia membalas, ‘Ada kerja yang perlu dibereskan’.

Dia memasukkan telefon ke dalam poket. Saleh berbisik, “Tuhan, tabahkan hatiku.” Kepalanya dijelepekkan ke atas meja.

Seorang lelaki datang menghampirinya, menepuk meja. Saleh tersenyum memandangnya, seperti selalu-selalu dia senyum memandang sesiapapun. Lelaki itu berkata, “Makan, Leh. Kedai simpang. Ramai-ramai.”

Lembut Saleh menolak, “Tak apa, kau pergilah. Kirim salam kepada yang lain.” Setelah berbasa-basi, lelaki itu beredar. Saleh menekur wajah. Ada mutiara halus di tubir mata. Dia bermonolog sendiri, “Bukan aku tak mahu, Zim. Aku segan asyik minta dibelanja. Aku risau, nanti aku dibangkitkan kembali dengan ada tanda-tanda orang yang meminta-minta di wajahku.”

Saleh bingkas lambat-lambat. Perutnya bagai menjerit-jerit minta diisi, walau sekeping roti. Dia senyum sahaja. Pesannya kepada diri, “Sabarlah jiwa. Tuhan sentiasa bersama dengan orang yang sabar.”

Saleh berjalan melepasi gerai-gerai menjual makanan. Bauan yang menggiurkan iman menusuk-nusuk hidungnya. Dia menyeluk poket. Ada sekeping duit kertas biru renyuk untuk tambangnya nanti, dan dua keping syiling dua puluh sen. Jadi, dia cuma ada empat puluh sen untuk belanja.

Saleh berhenti di hadapan gerai goreng pisang dan keropok. Dia memberi salam. Penjual itu menjawab salamnya sambil tersenyum. Tanya Saleh kepada penjual, “Tuan, keropok ini berapa harganya?”

Enak dimakan bila-bila, di mana-mana.

Enak dimakan bila-bila, di mana-mana.

Penjual itu menjawab, “Lima seringgit, nak. Mahu berapa? Seringgit? Dua ringgit?” Dia membuka plastik dan memegang sepit.

Saleh tunduk memandang bumi. Tidak sanggup memandang penjual. Perlahan, dia berkata, “Berikan saya keropok, emm, empat puluh sen,” sambil menghulur dua keping logam di tangannya.

Penjual memandang Saleh, lama. Seolah-olah membaca apa ada di jiwanya. Dia memasukkan keropok ke dalam plastik.

Saleh mengira di dalam hati, “Satu, dua. Eh, tiga, empat, lima, enam, tujuh… Aduh, apakah tadi suaraku perlahan tidak didengarinya? Adakah nilai minimum membeli di sini adalah seringgit?” Saleh mendongak ke langit untuk mengelak airmatanya luruh ke tanah.

Penjual menghulurkan beg plastik yang separuh penuh dengan keropok, dan berkata, “Nah, nak. Ambillah. Tidak perlu bayar. Hadiah dari pakcik. Tidak baik menolak hadiah”

Saleh hilang kata-kata. Dia mengambil beg plastik dari tangan penjual, mengucapkan terima kasih tertunduk-tunduk dan beredar cepat-cepat. Kepalanya mendongak ke langit lagi, namun tidak mampu lagi untuk menahan cecair hangat mengalir dari tubir mata.

Dia mengesat air mata dan air hidung dengan lengan baju. Dia berbisik sendiri, berdoa, “Hei Tuhanku, berkatilah dia. Segala puji bagimu, Tuhanku, mengenyangkanku dengan rahmatmu. Sungguh, engkaulah yang maha mendengar isi hati.”

“Sesungguhnya Allah mengetahui segala rahsia di langit dan di bumi; sesungguhnya Dia mengetahui akan segala (isi hati) yang terkandung di dalam dada.” (al Fathir:38)

Ustazah yang tertewas

Dari tingkap bilik, mak andam melangkah perlahan ke birai katil. Mak andam duduk di dekat ustazah yang menghadap cermin besar. Mak andam mengeluh. Diam. Akhirnya, mak andam berkata, “Alah, ustazah. Sikit sahaja, buat penambah seri di muka. Apa salahnya?” memecah kebuntuan.

Ustazah diam. Mak andam menambah, “Betul ustazah, nanti muka ustazah akan jadi lebih berseri. Apakah ustazah tidak mahu hari yang penting ini jadi kenangan terindah?”

Ustazah diam lagi. Kali ini lebih lama. Mak andam tersenyum, kemudian berkata, “Ustazah tivi yang masyhur itu pun buat begini, ustazah. Tengoklah, sekarang ini bukan main berseri-seri wajahnya.”

Mak andam menyentuh wajah ustazah. Ustazah menutup mata, tidak membantah. Mak andam memakai sarung tangan kalis apinya. Dari beg dandanannya, dia mengeluarkan sebatang suar dan menyalakannya. Ustazah masih lagi menutup mata. Mak andam mendekatkan suar ke muka ustazah. Kata ustazah, “Panas.”

Mak andam menjawab, “Sekejap sahaja, ustazah. Sekejap sahaja.” Tiba-tiba Mak andam menekan hujung suar ke kening ustazah.

Ustazah terenjat. Dia menjerit, “Pedih! Mak andam, hentikan! Hentikan!”

Mak andam diam sahaja mengunci mulut. Tangan kirinya memaut kepala ustazah agar tidak bergerak. Ustazah sudah terlolong-lolong menjerit, “Hentikan! Hentikan!” Mak andam terus melorek-lorek kening ustazah dengan suar.

Ustazah terus menjerit. Tiba-tiba bahunya ditepuk-tepuk. Dia membuka matanya.

Adiknya tersengih di sisi katil. Adiknya bertanya, “Mimpi apa, kak? Bangun, solat subuh.”

Ustazah terpisat-pisat bangun, melangkah lambat-lambat keluar dari bilik ke bilik air.

Suar di bawah katil masih belum kunjung padam.

[end]

1. Entri ini ditujukan kepada rakan-rakan yang telah/akan bernikah pada masa terdekat ini dengan moral: “Dilaknat wanita yang mencabut bulu kening dan yang meminta supaya dicabut bulu kening” – mafhum dari hadis yang soheh.

2. Bekas ustazah tivi itu kini seorang senator.

3. Akhil Hayy bukanlah seorang ustaz.

Masa

Ini cerita saya, di mana saya inginĀ  bercerita tentang saya yang mana pasti membosankan.

Ceritanya begini.

Sewaktu saya di dalam kampus, azan dilaungkan sekitar pukul enam pagi, tanpa mengira waktu masuknya, lima berapa-berapa pagi pun. Qamatnya kadang-kadang pukul enam setengah pagi. Mungkin sebab mengikut mazhab Hanafi, terang-terang tanah baru boleh solat Subuh. (Orang atas-atas mana pernah datang subuh di masjid UIA, sebab itu kata kita WAJIB ikut mazhab Syafi’e sebab kita ini sekarang di Malaysia.)

Jadi, saya yang sudah biasa hidup di dalam kampus dengan ke masjid pada pukul enam suku pagi lebih kurang, ke surau kawasan tempat saya menyewa sekitar masa yang sama.

Sesampainya saya, tok siak sedang mengunci pintu surau. Beliau adalah orang terakhir yang keluar.

Enam suku, beb. Subuh masuk pukul berapa sebenarnya?

Kalaulah Masa Boleh Diulang Kembali

Kalaulah masa boleh diulang kembali…

Ah, pohon kalau itu tersangatlah lebat buahnya, sampai sekah julainya di hadapan rumah saya, rumah yang kaya dengan buah-buah kalau.

Dan masa itu tidak akan pernah tidak patuh pada kuasa Tuhannya, untuk terus melangkah meninggalkan orang yang berkalau-kalau macam saya.

Persetankan yang sudah lepas, ayuh terus melangkah, bersama-sama detik saat masa.

.

.

.

.

.

Tapi, kalau masa boleh diulang kembali…

[Ah, berkalau lagi]

Dan masa terus berlari.

~~~

glosari:

sekah = serkah, patah ke bawah.

julai = dahan. Dalam kamus dewan di sebut ranting yang hujung.

Perkataan-perkataan Kelantan ini ada dalam kamus dewan rupanya. Oh…

Filem Dakwah

Baru selesai melayan cerita Perempuan Berkalung Sorban.

Macam cerita koboi

Macam cerita koboi

Awalnya, saya ingatkin ini adalah cerita zaman koboi di Tanah Melayu. Dan oh, ada muzik latar Siti Nurhaliza menyanyikan lagu Opick.

Resensinya? Dari segi penceritaan, memang bagus dan menarik. Sesuai dengan semangat emansipasi wanita muslimah dalam kerangka syariah. Kalau betul Anisa ada, ingin ku beri beberapa cadangan:

1. Wujudkan bengkel menulis secara Islami untuk anak-anak muridnya.

2. Adakan kelas bedah buku, maksudnya, kalau apa-apa buku yang dibaca itu, sila beri pendapat tentang islaminya ia pada bahagian mana, dan tidak islaminya ia pada bahagian mana, dan neutral pada bahagian mana.

Indonesia memang banyak filem-filem dakwah, dan ternyata ia memberi kesan positif kepada ramai orang. Mungkin kerana penduduk Indonesia yang ramai, mereka boleh sahaja mencari bakat-bakat baru dalam bidang perfileman.

Dengan kapasiti penduduk hanya 1/10 dari Indonesia, Malaysia tidak mungkin akan mengeluarkan filem dakwah berlatar pengajian agama dan masalah berkaitan agama.

Filem dakwah Malaysia (bagi pengarah filemnya, ia adalah dakwah) ialah berkenaan kisah bohsia, zina, rogol, rempit, dan semuanya ini dipertontonkan kepada massa supaya mereka tidak mengikut.

Filem dakwah yang berbentuk pengajian agama, berjuang atas nama agama sama sekali tidak akan dibikin. Ini kerana, kalau dibuat filem-filem sebegini, nanti para pelakonnya akan insaf dan tidak mahu berlakon lagi, macam Azmil Mustapha. Negara akan kehilangan bakat lakonan. Maka sebab itu, Malaysia tidak boleh ada filem dakwah.

Bahkan sebenarnya, Malaysia amat kekurangan bakat. Mana-mana pendakwah yang popular akan diberi gula-gula untuk terjun ke dunia glamor, seperti Akhil Hayy. Sekarang sudah mewarna rambut, mungkin mengikut sunnah.

Ah, saya hanya pandai mengkritik. Mahu ajar saya cara berdakwah melalui filem?

Hukum Kanun Melaka

Kadang-kadang, saya tanpa sengaja bercakap bahasa Melayu baku dalam uslub Kelantan. Contohnya, ‘Rumah sudah bersepah, perlu disimpan’, ‘Pisang ini perlu dimakan selalu, kalau tidak akan tidak sedap’ dan juga ‘Kelas kamu arah menaikkah?’

‘Simpan’ disini membawa maksud ‘kemas’, ‘selalu’ membawa maksud ‘segera’ dan ‘menaik’ membawa maksud ‘timur’.

Mungkin kesalahan uslub ini dipandang remeh oleh sesetengah orang, tetapi uslub inilah yang banyak membawa kesalahfahaman tentang hukum-hakam halal-haram dalam bidang feqah.

Uslub ulama dari Kufah tidak sama dengan uslub ulama dari Hijaz. Contohnya, pada sesetengah ulama, fardhu dan wajib membawa makna berbeza, namun pada sesetengah ulama yang lainnya, fardu dan wajib membawa makna yang sama. Sebab itu, adalah penting untuk memahami uslub ulama dalam rangka memahami ilmu-ilmu melalui pembacaan.

Jangan sekadar pandai bahasa Arab, pandai baca kitab, tapi gagal mengambil istifadah dan kaifiyat mengeluarkan hukum, bahkan salah dalam memberi hukum.

Pindah Rumah

Bismillah.

Kontrak mulut telah pun dipersetujui. Saya akan naik rumah baru minggu hadapan. Menyewa, sebelum nanti mampu membeli rumah sendiri.

Nanti saya akan upload gambar. Saya menyewa rumah tak siap. Terbengkalai. Tempat jin bertendang. Tuan rumah berpindah setelah mendapat tawaran diam di kediaman rasmi.

Nanti akan diadakan upacara ayam dara golek pulut kuning baca surah al-Baqarah. Buat menghalau jin yang tinggal di situ selama rumah itu tidak berpenghuni.

Di belakang rumah saya mengalir malas sebatang anak sungai. Tetapi, kalau dia ingin mengganas, dia akan melimpah tatkala hujan lebat. Rumah ini pernah kena banjir. Di seberang sungai adalah sebuah bukit kaf. Saya mula membayangkan untuk jungle tracking dan memancing di empangan di sebalik bukit kaf sana. Dari jauh, bukit kaf itu kelihatan seperti gajah-gajah yang beratur bersusun-susun. Sebab itu nama bukit gajah lebih popular dari nama asalnya yang entah apa ia.

Rumah itu ceruk letaknya. Jauh dari jalan utama, tapi cuma di tepi jalan kampung.

Di hadapannya ada tiga pohon mangga yang berbuah jarang, dan lorong ke rumah bomoh moden.

Dalam fikiran saya ada banyak benda. Tong gas, dapur gas, tanaman dengan teknik fertigasi, ccolek pauh (oh), kumpul serangga di kaki bukit kaf, menebas semak samun dengan mesin rumput Pak Mat, dan ah ya, presentasi!

p/s: Saya sudah lupa siapa yang meminjam kitab tafsir mimpi ibnu sirin saya. Banyak mimpi yang ingin saya tafsirkan.

Gelak Ketawa

hahahahaha
hahahahaha

Blog ini sudah menjadi blog gelak ketawa.

Itulah, rukuudulmaa2u yufsiduhu, faraaghushshaabu yaqtuluhu.

Next Page »


ashraflatif

"Wahai orang-orang yang beriman, berimanlah kepada Allah dan rasulnya."

Ashraf Latif's Facebook profile

KamusDewan

Disclaimer

Segala isi kandungan di dalam blog ini adalah untuk domain umum/awam. Maknanya, tiada 'copyright' kepada saya, kecuali artikel yang saya jadikan rujukan dan dinyatakan sumbernya. Maka, pembaca bebas untuk melakukan apa sahaja dengan artikel yang saya tulis, seperti copy-paste, repost, buat novel, filem, lagu dan sebagainya tanpa perlu meminta izin dari saya terlebih dahulu.


Apa yang baik harus dikongsi bersama :)

 

May 2009
M T W T F S S
« Apr   Jun »
 123
45678910
11121314151617
18192021222324
25262728293031

Flickrku

anakku

PBAKL 2010

More Photos

alif-ba-ta

  • 43,374 hits

Pages


Follow

Get every new post delivered to your Inbox.