Archive Page 2

Selamat berpuasa

Ramadhan kariim. Selamat menyambut ramadhan yang mulia.

1. Saya pulang ke Kota Bharu. Trip ke Pattani terpaksa dibatalkan kerana civil unrest. Dua orang askar mati dibunuh oleh [kononnya] puak pemisah. Saya tidak tahu cerita sebenarnya. Gula di sempadan ialah rm2.50 ke rm3.00 sekilogram. Tapi askar Thailand itu bukan mati kerana gula.

Perkara paling bagus dilakukan tatkala menjelang waktu berbuka ialah berdoa sebanyak-banyaknya, bukan keluar mengambil gambar.

Perkara paling bagus dilakukan tatkala menjelang waktu berbuka ialah berdoa sebanyak-banyaknya, bukan keluar mengambil gambar.

2. Kehadiran saya ke Bandung juga terpaksa dibatalkan. Terima kasih kepada rakan-rakan yang mengajak dan tuan rumah di Institut Teknologi Bandung. Saya perlu menguruskan beberapa shipment barang-barang ke UK. Nanti, bila ada rezeki, saya akan ke Bandung.

3. Berikut adalah gambar Kota Bharu (2 keping sahaja) pasca kosmopolitanisasi.

Orang Kelantan mempunyai aliran tunai (cash flow) yang tinggi. Mereka adalah kebanyakannya bangsa berdagang. Maka duit mereka sentiasa di tangan. Pasaraya Tesco sekarang ini mengatakan, Tesco Kelantan menduduki tangga teratas Tesco paling untung di Malaysia. Mydin terbesar Malaysia juga akan dibuka di Kelantan. Selepas ini, orang Kelantan akan jadi seperti orang negeri lain. Tidak lagi duit di tangan. Semua sudah habis dibelanja. Maka akan berhutang untuk hidup lebih dari kemampuan.

Orang Kelantan mempunyai aliran tunai (cash flow) yang tinggi. Mereka adalah kebanyakannya bangsa berdagang. Maka duit mereka sentiasa di tangan. Pasaraya Tesco sekarang ini mengatakan, Tesco Kelantan menduduki tangga teratas Tesco paling untung di Malaysia. Mydin terbesar Malaysia juga akan dibuka di Kelantan. Selepas ini, orang Kelantan akan jadi seperti orang negeri lain. Tidak lagi duit di tangan. Semua sudah habis dibelanja. Maka akan berhutang untuk hidup lebih dari kemampuan.

Menyedari kuasa beli rakyat Kelantan yang tinggi, syarikat-syarikat gergasi Malaysia sanggup melabur puluhan ribu untuk niche rakyat Kelantan yang tersendiri. Di mana lagi kamu dapat lihat iklan seperti ini? Dan Maya Karin yang bertudung?

Menyedari kuasa beli rakyat Kelantan yang tinggi, syarikat-syarikat gergasi Malaysia sanggup melabur puluhan ribu untuk niche rakyat Kelantan yang tersendiri. Di mana lagi kamu dapat lihat iklan seperti ini? Dan Maya Karin yang bertudung?

4. Jangan ke Kota Bharu kalau tiada keperluan. Sistem jalanraya yang baru akan membuatkan kamu sesat, dan sumpah, ianya tidak mesra pejalan kaki.

5. Adakah hasil kosmopolitanisasi ini, maka pemandu kereta di Kota Bharu menjadi semakin tidak cakna dan kurang ajar?

henfon

Assalamualaikum warohmatullahi wabarokaatuh.

______

Belasungkawa.

*Ustaz Asri Robbani*

Doakan beliau.

______
Kerana henfon saya yang keciciran [lalu hilang], maka saya kini tiada nombor kamu sesudah mendapat simkad baru. Adalah menjadi harapan agar kamu dapat menghantar nombor kamu kepada saya.

Sekian dimaklumkan, terima kasih :)

Dunia pinjam-pinjaman

1.

Hari itu, sesudah sembahyang Asar, saya menyalami imam Yang Mulia. Dia diberi gelar Yang Mulia kerana dia suka memanggil orang lain ‘yang mulia’. ‘Hei yang mulia, yang mulia tahu tak…’ begitulah katanya.

Hari itu beliau tersengih-sengih. Tersenyum, dan matanya bersinar-sinar galak. “Yang mulia tahu tak?” dia bertanya.

Saya mengangguk-angguk. Saya tahu. Sebelum saya bercakap, dia memintas, “Sekarang ini dia di syurga, mendoakan saya. Alhamdulillah.” Saya kagum dengan sikap dia.

Imam yang seorang lagi terpinga-pinga. Dia seorang asing, tidak tahu bahasa melayu, atau tahu cuma sedikit. Yang Mulia menjelaskan dalam bahasa arab berbunga melayu, “Anak lelaki saya yang masih kecil itu, dia baru meninggal.”

Inna lillahi wa inna ilaihi roojiun.

2.

Yazid berkata, “Nanti, beli yang ada A-GPS.” Telefon saya keciciran entah di mana.

Pusing Keliling

1.

Suka hantar buku lambat ke pustaka? Nah, link ini untukku dan juga untukmu. Ya Allah, ampunkan dosa kami yang bergelumang dengan riba.

2.

Kalau ada dua pemadam kebakaran, yang mana sesudah memadam kebakaran itu, seorang dari mereka mukanya menjadi hitam bak Dayang Senandung, dan seorang lagi kekal bersih tulus mulus suci, siapakah di antara mereka yang akan mula-mula sekali membasuh muka?

Ialah yang mukanya terkena arang.

Salah! Yang mula-mula sekali membasuh muka ialah yang bersih mukanya. Kerana tabiat manusia melihat cerminan diri dalam jiwa orang lain. Jadi, tatkala dia melihat muka kawannya kotor, disebabkan dia melakukan kerja yang sama, maka sudah tentu dia berfikiran mukanya juga kotor. Begitu sebaliknya fikiran kawannya yang mukanya kotor itu.

3.

Bekerja itu kerana ibadah, menafkahi keluarga, demi cita-cita.

pembaziran intelek

Saya agak sensitif apabila melihat mahasiswa bekerja secara sambilan dengan gaji setaraf pekerja lain bersijil SRP, semata-mata untuk mendapat duit poket. Pada saya, lebih baik tidak bekerja, atau bekerja di tempat yang memberikan perkembangan intelek walau tanpa gaji, kalau alasannya untuk mendapat duit poket lebih.

Langsung tidak berbaloi dengan ilmu yang yang di kutip di universiti.

Pelajar yang seperti ini, akan ke kelas, dan ke kerja, dapat gaji, dan belanja. Setakat itu sahaja. Langsung tidak membantu dari segi jatidiri dan sahsiah. Cuba tengok promoter-promoter di gerai-gerai di pasaraya, contohnya.

Sepatutnya, niat bekerja semestinya seiringan dengan visi dan cita-cita yang setara dengan nilai intelek yang ada di dada. “Saya bekerja sambilan untuk melebarkan jaringan networking saya” atau “Saya bekerja untuk menilai bagaimana perasaan seorang pekerja maka apabila saya menjadi tauke nanti, yang negatif-negatif terhadap pekerja dapat saya sampingkan.” Atau lain-lain alasan yang dapat kamu berikan. Cuma, jangan jadikan “untuk mengisi kekosongan waktu” dan “mencari duit lebih” sebagai alasan. Itu satu penghinaan kepada intelektualiti yang kita ada.

Sudah tentu, sebagai intelek, kita perlu memilih kerja! (Persetankan kata-kata ‘Ah, kamu terlalu memilih kerja.’ Katakan sahaja, ‘Aku memilih masa depan.’)

Sebab itu, cita-cita dan impian adalah amat penting.

kalungan sorban

1.

Kata dia, “Tidak beriman seseorang kamu sehingga dia sayang untuk saudaranya apa yang dia sayang untuk dirinya. Maka, kamu kena bagi aku sayang tunang kamu!”

Toing!

2.

Sudah tengok cerita perempuan berkalung sorban? Ceritanya tentang emansipasi wanita mendapat kritikan hebat di Indonesia kerana ada adegan ranjang dan bunyi-bunyi manusia mengawan, yang tidak sesuai dengan latar pesantren. Filem agama, kononnya.

Semalam saya terjumpa novelnya. Ternyata, cerita filemnya adalah 10 kali lebih sopan dari novelnya.

Novelnya adalah kisahan imajinasi seks oleh seorang pelajar perempuan pesantren.

Maka, kalau kamu mahu novel kamu difilemkan, kamu boleh menulis tentang imajinasi seks seorang pelajar pondok.

Kisah pendosa

Andai kata kalau kamu, pada suatu hari terlihat aku sedang dalam keadaan berbuat dosa, seperti berlari di taman dengan hanya memakai cawat dan botol beer di tangan misalnya, maka cubalah sekurang-kurangnya bertanya kepada aku, “Kenapa?”

Aku akan dengan segera menjawab, “Ikutlah aku, akan ku tunjukkan kenapa, dan agar aku terhindar dari fitnah ini.”

Dan kamu segera menggeleng kepala, “Aku sibuk. Niat tidak menghalalkan cara,” dan terus membiarkan aku berlari di taman dengan hanya memakai cawat dan sebotol beer di tangan, lalu kamu yang sibuk lalu tidak ingin mengikut aku untuk aku tunjukkan kenapa aku berlari di taman dengan memakai cawat dan memegang sebotol beer, meriwayatkan kisah aku kepada orang lain.

Bahawa aku kini sudah tidak kisah lagi berlari di taman dengan memakai cawat dan memegang botol beer, dan niatku tidak menghalalkan caraku.

Ikutlah aku, dan kamu akan tahu, bahawa Tuhanku Maha Tahu.

unrelated but somehow related story

Dari Manchester ke Surabaya

1. Che’

Kata che, “Aku sudah mahu pulang.” Enak-enak che menghisap rokok tembakau hirisan ayah, dalam biar penuh paru-paru, ditahannya nafas sekejap, dan menghembus perlahan. Dia membetulkan kain pelekat yang selalu dipakainya senteng bawah sedikit dari paras lutut, mencari sunnah tidak isbal barangkali, membetulkan kakinya di atas jemburan sedang punggungnya di atas balai utama rumah. Kami sedang duduk-duduk di muka pintu setelah aku selesai memakan durian yang dibelahnya untuk aku. Aku cuma memandang ke hadapan, tidak tega merenung wajah serius che yang bagi mereka yang tidak biasa, nampak sangat garang.

Che memang sentiasa serius, dan garang. Kalau salah tajwid waktu mengaji quran, mahu dicampaknya cucu-cucunya ke luar cendela. “Makan apa kamu ini, benaknya* ya rabbi…” atau “Mana mata kamu! Lihat betul-betul hurufnya. Apa mahu aku cungkil biji matamu?” adalah bait-bait yang bisa mengecutkan segala apa yang boleh kecut pada kami cucu-cucunya. Semuanya pucat kesi tidak terkutik. Kalau pergi mengaji, boleh sahaja jadi buta dicungkil biji mata. Kalau tidak pergi mengaji, alamatnya berbiratlah belakang dengan libasan rotan atau hanger baju atau getah paip atau apa sahaja yang boleh dicapai bonda tersayang. Apa mau jadi cina tidak basuh berak tidak reti mengaji? Bahkan tidaklah sesuatu yang hairan dan pelik, cina-cina tua di negeri Kelantan ini ramai yang reti mengaji dan baca jawi, walau tidak basuh berak. Aku tidak tahu sebenarnya cina-cina ini basuh berak atau tidak, cumanya aku tahu, kalau tidak reti mengaji, maknanya kena berlatih berpanas-panas sebagai persediaan nanti waktu matahari sejengkal atas kepala, atau masuk neraka dulu.

Che meneruskan, “Kita ini asalnya orang sana. Mustahil kita tidak rindu. Tok nenek kita juga orang sana. Mereka juga sangat rindu. Maka tidak boleh tidak, kita kena pulang ke sana. Sanalah tempat asal usul kita, tok nenek kita, Rah.”

Rah adalah nama panggilanku. Aku teringat kisah perantau dari tanah minang sana, lantaran ayahnya suku minang dan ibunya suku yang lain, dia terbuang tidak boleh kembali ke tanah tunpah darah ayah dan ibunya. Ingin pulang ke tanah minang, nasab dikira dari titih ibu. Mahu pulang ke suku ibunya, nasab dikira dari titih bapak. Maka baktan itu, jadilah dia pipit dagang, membuang diri jauh ke tanah orang. Di mana dia jatuh mendarat, di situlah dia berumah, dan beranak pinak. Dan mudah pula dia beristeri. Tidak canggung orang menawarkan anak kepadanya untuk dijadikan isteri. Mungkin kerana merasa diri terbuang, maka dia menjadi sangat rajin menganyam sendiri takdir hidup.

Setelah lama diam, dan rokoknya habis dihisap, che membuang puntungnya, atau bahagian daun yang tidak bertembakau sebetulnya, ke tanah, melalui celahan lantai jemburan. Dia menggulung rokok lagi. “Kita ini,” katanya, “asalnya syurga. Maka selayaknyalah bagi kita rindu akan ia, Rah.”

2. Ben

Benjamin, atau aku panggil saja dia Ben, ialah seorang anak muda yang baru saja tidak sampai berapa lama memeluk Islam. Apabila ditanya tentang pengislamannya, dia amat galak bercerita. Katanya, “Aku mendengar bacaan Quran. Waktu itu aku tidak tahu apa ia. Sungguh merdu bunyinya. Aku merujuk kawan, dan dia kata, itulah ayat-ayat al-quran. Aku kagum, menghayatinya, dan mencari maknanya. Aduh, sungguh mendalam maksudnya. Aku jatuh cinta.” Ialah surah Al-Rahman, dan Ben menghafal surah ini sesudah Al-Fatihah, membikin aku malu kerana terasa sungguh tidak Islamnya aku, yang sekolah agama tapi tidak hafal surah Al-Rahman.

Ben sangat bersungguh belajar mengaji, dan selalu merujuk padaku tentang hadis-hadis, dan selalu bertanyakan soalan yang mukadimahnya dia akan kata,”Ini mungkin bunyinya sangat bodoh, tapi, boleh kau terangkan padaku…” dan aku akan sentiasa cuba menjawab dengan ilmu yang aku ada semampuku.

Kadangkala, Ben akan berkata, “Kenapa jawapan kamu sangat berbeza dari orang lain? Aku tanya kepada sipolan, katanya kita mesti keras-keras berpegang kepada kata-kata imam ini.”

Dan biasa saja aku jawab, “Oh, Ben. Aku mazhab lain.” Dan dia tersenyum kerana dia pernah bertanya tentang mazhab suatu ketika dulu, lalu kuterangkan padanya, kita menganut Islam, bukan menganut mazhab.

Suatu hari, dia bertanya, “Kenapa ya, muslimah yang bertudung, mereka menutup kepala tetapi memakai baju dan seluar ketat menampakkan bentuk tubuh? Apakah mereka tidak faham apa yang diterangkan dalam al-Quran?” Kemudian dia membacakan mafhumnya dari surah an-Nur, yang sekali lagi buat aku malu, kerana ternya aku sangat kurang baca. Aku faham maksudnya: bertudung tidak semestinya menutup aurat.

Aku menjawab, “Ben, kami yang lahir Islam ini sememangnya sangat mahir membaca Quran, tajwidnya masya Allah mantap. Tapi, Ben, jarang sekali kami ini membaca makna-makna al-Quran. Dan kau, Ben, adalah sangat istimewa.”

Aku ingin saja menulis surat kepada editor majalah-majalah muslimah yang mempromosikan busana yang kononnya islami, tetapi tidak ada beza dengan balut nangka yang meriah warna-warni yang bertudung. Tapi mengenangkan surat-surat kritikanku kepada editor yang sebelum ini tidak mendapat balasan apa-apa, aku biarkan saja surat-surat itu di dalam cakera keras.

Apa yang kau tahu sebenarnya tentang aurat, kawan?

3. Maut

Lagi-lagi bicara soal mati.

Seorang teman kuliah telah mati secara tiba-tiba. Di kala semua (bukan semua, sebenarnya) yang lain berduka, aku bagai biasa saja, seolah-olah tiada apa berlaku. Maka ada dua atau tiga orang yang nampaknya tidak berpuas hati denganku, marah-marah. Kata mereka, aku ini tidak berperasaan.

Aku diam saja. Kalau arwah tahu, pasti dia setuju denganku, “Jangan bersedih atas kematianku. Kalian mesti terus hidup dengan penuh berani.”

Sebelum matinya dia yang matinya itu secara tiba-tiba, aku menulis ‘ucapan untuk orang mati’ atau dalam bahas inggerisnya funeral servis yang ingin aku dedikasikan kepada seorang teman yang lain yang masih hidup. Kiranya, kalau teman yang ini mati tiba-tiba (dia suka bawa kereta laju-laju), maka aku sudah tahu apa yang akan ku ucapkan kepada ayah dan ibunya.

Teman kuliah yang matinya mati secara tiba-tiba itu meninggalkan anak berusia tiga bulan. Awek chun mencadangkan anak itu dijadikan anak angkat. Yazid mencadangkan balunya dijadikan isteri. Jihad, kata Yazid.

Glosari:

Che = sebutannya macam cik dalam perkataan encik. Maksudnya datuk. Di sesetengah tempat, che merujuk kepada nenek atau wanita tua. Untuk wanita yang tidak tua, biasanya ‘chik’ digunakan. Tok (atuk) kadangkala digunakan kepada dua-dua atuk dan nenek.

Benak = lambat menghadam pelajaran, lambat faham, lambat pikap

Baktan = oleh sebab.

Jemburan = disebut jemorey dalam bahasa kelantan (kalau transliterasi seolahnya dari perkataan jemuran), bahagian pelantar luar dari rumah yang menghubungkan muka pintu dan tangga rumah yang mana menjadi kawasan lepak-lepak tetamu yang tidak mahu masuk ke dalam rumah. Keluasan jemburan bergantung kepada tuan rumah, ada yang seluas gelanggang sepak takraw lengkap dengan sofa, dan ada yang cuma sekangkang kera,

zakat pendapatan

Sesudah baca posting Firdaus Sainal barulah saya teringat, bahawa ramai teman-teman saya sudah bekerja, dan bilamana bekerja, sudah tentunya dapat gaji, dan bila dapat gaji sudah tentunya kena bayar zakat.

Pengiraan zakat boleh dikira dari pendapatan kasar atau (pendapatan kasar – bolanja wajib, termasuk hutang dan tanggungan lain, tidak termasuk barangan yang tidak perlu seperti make-up, aksesori kereta dsb) Jadi, kalau ingin selamat dunia dan akhirat, pakailah kiraan gaji kasar.

Sesudah itu, bahagi apa yang anda ingin bayar (kasar atau bersih, bergantung kepada anda, lagi banyak lagi baik) dengan 40. Maka itulah zakat anda. Bayar lebih tidak apa, jangan kurang. Sila bayar ke baitulmal terdekat atau pusat zakat terdekat. Apa sangatlah 2.5% dari seluruh harta anda dibandingkan dengan sumbangan yang dapat anda beri untuk Islam (atau dibandingkan dengan seksa akhirat kalau anda tidak bayar).

Untuk zakat pendapatan, haul iaitu tempoh setahun tidak termasuk dalam pengiraan, kerana gaji anda, anda dapat secara bulanan.

Maka kawan-kawan, tunaikanlah zakat.

Adapaun saya yang pelajar ini termasuk dalam kategori penerima, jadi anda bolehlah bayar zakat kepada saya :p

P/s: Sebenarnya, semua duit yang anda dapat ada hak orang lain di dalamnya.

Kapitalisme

Di dalam kelas kelmarin, saya bertanyakan kepada dosen dan teman-teman belajar. Andaikan saya seorang kapitalis, iaitu saya menganut fahaman profit maximization, namun pada masa yang sama, saya mengambil berat kebajikan pekerja saya, saya membayar zakat dan bersedekah, mengeluarkan produk-produk yang bermutu, adakah saya masih lagi sorang kapitalis?

Jawapan dosen ialah, ketika itu saya sudah bukan kapitalis. Maka apa? Islamis?

« Previous PageNext Page »


ashraflatif

"Wahai orang-orang yang beriman, berimanlah kepada Allah dan rasulnya."

Ashraf Latif's Facebook profile

KamusDewan

Motivasi

"Kalaulah manusia mengetahui pahala solat isya' dan subuh (berjemaah), nescaya mereka akan mendatanginya walaupun dengan merangkak"

 

November 2009
M T W T F S S
« Oct    
 1
2345678
9101112131415
16171819202122
23242526272829
30  

Flickrku

kemasin

More Photos

alif-ba-ta

  • 18,415 hits

Pages