Iman

Quran yang saya gunakan untuk bacaan dan hafazan sejak dari zaman sekolah telah tertinggal di Kemboja.

Quran kecil isteri saya, saya terhilangkan di TBS (saya ingin masuk ke bilik air, dan meninggalkan Quran itu di luar. Bila saya selesai qada hajat dan keluar, Quran itu telah tiada. Tanya makcik cleaner, katanya dia tidak ada ternampak).

Lalu saya menggunakan aplikasi yang dimuat turun ke android milik isteri. Developer aplikasi ini pastinya diberi pahala yang banyak.

Tidak nyaman. Baca Quran, kemudian belek facebook. Baca Quran, kemudian main Angry Birds.

Saya mudah distracted. Maka saya perlukan Quran yang dedicated.

Lalu saya ke kedai buku agama. Cari Quran tradisional. Quran sekarang sudah berwarna warni. Huruf dan tulisan juga berwarna warni. Harganya juga boleh tahan mahal.

Mahal?

Saya bermuhasabah diri.

Saya pernah menghadiri program yang berharga ribuan ringgit semata-mata untuk mendapat keuntungan dunia yang tidak seberapa.

Dan sekarang saya berkira untuk mendapatkan Quran yang boleh menyelamatkan saya dari api neraka?

Lemahnya iman saya…

Saya memohon keampunan Allah.

Sekitar temuduga JAWI

Semalam saya menghadiri temuduga di JAWI.

Komuniti di sini mencalonkan saya sebagai imam mereka, dan memandangkan kawasan ini di bawah jurisdiction JAWI, saya diminta mendapatkan tauliah.

Ada 3 orang panel. Ada banyak sesi.

Sesi pertama: tilawah, tajwid dan hafazan (Saya tebuk Sejadah, Insan dan Baqarah). Commended untuk tajwid (cuma suara tidak lunak :p ) . Terima kasih kepada guru-guru mengaji saya yang sekian ramai itu.

Sesi kedua: public speaking dan khutbah. Ok.

Sesi ketiga: Fiqh solat dari mazhab Shafie. KO! :3 (Saya menjawab berdasarkan sifat solat yang saya belajar dari sheikh-sheikh di Maahad dan universiti. Panel menasihatkan untuk memperdalamkan ilmu dari sudut mazhab Shafie, kerana komuniti saya mengamalkan mazhab rasmi Malaysia.)

Sesi keempat: Tauhid dan Aqidah. Saya diminta membaca petikan dari sebuah kitab kuning. Jawi klasik. Ia berbunyi lebih kurang begini: “fasal menerangkan melihat allah akan dia jatuh kepada orang beriman tidak jatuh kepada orang kufar dan tidak juga jatuh kepada orang munafiq”

Panel minta saya ulas. Dan saya ulas – Pada hari akhirat hanya orang beriman akan dipandang Allah. Allah tidak mempedulikan orang kafir dan munafiq, berdasarkan pemahaman saya pada ayat-ayat terakhir surah Sejadah dan kuliah oleh Prof Abbas.

Panel kata saya tersilap domir. ‘Akan dia’ merujuk kepada Allah. Ia berkenaan melihat Allah. Panel minta saya ulas semula.

Panel bertanya, “Bolehkan kita melihat Allah?” Saya bawa hadis orang beriman akan melihat Allah di akhirat sebagaimana dia melihat bulan purnama di dunia.

Panel bertanya “Enta mentashbihkan Allah?”. Saya jawab “Laisa kamithlihi shai’, tiada apa yang sama dengan Allah. Apa dan bagaimana yang terlintas di hati, bukanlah Dia. Tetapi kita beriman dengan apa yang Allah sifatkan diri-Nya.”

Panel berkata, istilah untuk meletak had kepada bayangan hati disebut ‘hadduttauhiid’. Apa-apa yang terlintas dalam minda kita berkenaan Allah yang ada sama dengan perkara di dunia, seperti turun secara zahir, tinggi secara zahir dan sebagainya, bukanlah Allah.

Panel bertanya lagi, “Enta tak takwil?” Saya menjawab tidak. Panel angguk-angguk, dan berkata, “Untuk komuniti enta, enta kadang-kadang kena takwil. Enta akan mengajar mereka yang kosong.” Atau lebih kurang begitulah komen mereka. Saya sengih dan angguk 🙂

Sesi kelima: Usuluddin. Saya diminta memberi definisi dan rukun niat. Definisi OK – buat sesuatu dengan sengaja dan sedar. Rukun, KO. Dah lupa. Lagi pula, saya tidak pernah belajar usuluddin secara khusus.

Sesi temuduga jadi sesi muzakarah berkenaan mazhab dan talfiq.

Akhirannya, panel mengucapkan terima kasih kerana kehadiran (saya menunggu 6 jam sebelum giliran saya tiba), memberitahu bahawa mereka menghormati pendirian dan perbezaan pendapat dalam sesetengah perkara.

Keputusan akan keluar bulan Mei!

Jual idea

Ejen takaful dan insurans sepatutnya boleh menjadi pendakwah terbaik.

Mereka boleh menerangkan kebarangkalian-kebarangkalian yang MUNGKIN berlaku atas hidup seseorang manusia, dengan penuh yakin.

Kecederaan, masuk hospital, kecacatan kekal. Semuanya dilindungi.

Ejen takaful akan menerangkan, selepas kematian, keluarga akan mendapat pelbagai faedah dan imbuhan.

Kenapa tidak melangkah setapak lagi? One step further.

Terangkan apa terjadi selepas kematian. Pasangan/anak-anak hubungi ejen, beritahu ada kita meninggal. Ejen akan uruskan segala dokumentasi. Keluarga terus dapat khairat pengebumian, sementara pampasan/imbuhan diuruskan. Jenazah diuruskan. Dikuburkan.

Kita akan:

1. Terputus amalan kecuali tiga: sedekah jariah, ilmu bermanfaat yang diajarkan dan anak-anak soleh yang mendoakan.*

Harap-harap kita banyak sedekah. Dalam Quran ada sebut, ramai orang yang dah mati minta dihidupkan semula walau sekejap untuk bersedekah.

Harap-harap kita banyak ilmu bermanfaat yang diajarkan.

Harap-harap anak-anak kita semuanya menjadi.

2. Ditanya tentang empat perkara: sepanjang hidup dihabiskan untuk apa, masa muda buat apa, harta ambil dari mana dan belanjakan ke mana, dan ilmu yang ada kemana diguna.*

#

Saya sedang menimbang-nimbang pelan takaful untuk anak-anak.

*Hadis di atas adalah dari memori, tanpa perawi.

Minta dan usaha

Tuhan bertindak dengan cara yang sangat misteri. Tidak terjangkau oleh akal manusia.

Dalam banyak hadis ajaran Rasulullah, Rasulullah mengajar kita supaya meminta sesuatu kepada Allah.

Dalam Quran juga ada disebut hal ini.

“Dan Tuhanmu telah berfirman, (kamu semua) mintalah dariKu, nescaya Aku perkenankan” – surah Ghafir ayat 60.

Ini pesan guru saya:-

Ingin duit? Minta kepada Allah dahulu. Ingin anak? Minta kepada Allah dahulu. Ingin kasut? Minta kepada Allah dahulu. Ingin apa-apa? Minta kepada Allah dahulu.

Kerana Dialah pemilik segala sesuatu.

Kemudian baru minta kepada pemegang amanah – iaitu manusia, melalui jalan usaha dan usaha dan tawakkal. Dan jangan berhenti berdoa.

Maksudnya, kita mesti ada dalam kepala kita apa yang kita inginkan. Gol. Tujuan.

Kemudian minta kepada Allah. Kemudian berusaha. Kemudian bertawakal dan berdoa.

Kadang-kadang, Allah memberi lebih dari yang dipinta. Kadang-kadang langsung tiada kelihatan hasil, namun…

Jangan pernah berhenti meminta kepada Allah. Hasilnya pasti ada. Jika tidak di sini, di sana nanti.

====

Eksperimen

====

Saya membuat satu eksperimen.

Dalam doa saya, saya meminta secara spesifik, saya ingin RM100.

Kemudian, saya postkan di wall facebook saya: “Siapa mahu beri saya RM100? Berikut adalah nombor akaun Maybank saya: 153010414034.”

Tidak lama kemudian, saya mendapat notifikasi bahawa ada seorang hamba Allah telah mendepositkan RM100 ke akaun saya.

Alhamdulillah.

====

Harta dunia

====

Berdasarkan hadis, Allah tidak bertanya berapa harta yang kita dapat kumpul.

Allah akan tanya, bagaimana kita membelanjakan harta.

Orang kaya akan lama perkiraannya di akhirat, ekoran banyaknya harta.

Orang miskin akan sekejap perkiraannya.

Sudah pastilah. Secara kasarnya:

Daftar amal-jariah orang kaya:

Jumaat pagi sedekah, jumaat tengahhari sedekah, jumaat malam sedekah.

Sabtu begitu juga.

Ahad pun sama.

Isnin juga.

Selasa, Rabu, Khamis.

Daftar amalan orang miskin:

Jumaat tengahari sedekah tabung masjid.

Jumaat depan pula baru sedekah.

Jumaat depan depan pula.

Kan?

Ambil para sahabat jadikan contoh.

Kaya raya. Gigih berniaga. Gigih bersedekah.

Orang dengan ilmu syariah dan orang yang hidup bersyariah

Suatu hari, entah bagaimana saya terlibat dengan satu diskusi dengan sekumpulan pelajar universiti.
Ada lelaki, ada juga perempuan.
Bukanlah nak menilai, tapi…
Pakaian lelaki, ok. Pakaian yang perempuan, ada yang ok, ada yang membarut aurat.
Semasa sesi ta’ruf, masing-masing memperkenalkan diri. Nama dan kuliah.
Yang membarut aurat, malu-malu memberitahu, dia dari kuliah Ilmu Wahyu.

Biarlah Tuhan yang menilai. Saya cuma bercerita.

Ada orang berusaha untuk hidup bersyariah dengan sekelumit ilmu yang dimilikinya.
Ada orang belajar ilmu syariah untuk mengejar dunia, lebih-lebih lagi dalam industri kewangan dan perbankan Islam.
Ada orang hidup dengan ilmu syariah yang ada dalam dadanya, tapi bangun setiap pagi dengan rasa sesak di dada kerana cara hidupnya berlawanan dengan fitrah ilmunya. Dan bila masa berlalu, rasa sesak ini akan perlahan-lahan pergi dan hilang…

Bulan syawal ini musim kenduri.
Ada ustazah-ustazah yang tunduk kepada mak andam dengan alasan sekali seumur hidup. Bersolek sakan berlebih-lebih, berbaju pengantin ketat, bertudung singkat, bersanding untuk umum. Bergambar dan upload di facebook pula. Walhal dulu-dulu, dialah pengkritik tetap setiap majlis nikah rakan-rakannya.

Begitulah, iman bertambah dan berkurang, bergantung kepada suasana dan persekitaran.

Kita buat sesuatu sepertimana kita berlatih

Semasa saya masih di bangku sekolah, saya seorang yang aktif dalam silat. Cikgu-cikgu silat saya mengajar dan melatih saya dan rakan-rakan seperti kami menghadapi situasi sebenar.

Kenapa ingin buat betul-betul? Padahal cuma latihan sahaja, bukan? Bukan.

Mari saya beritahu tuan sesuatu.

Tabiat manusia, kita buat sesuatu sebagaimana kita berlatih buat sesuatu. Main-main sewaktu latihan, dan pada hari kejadian sebenar kita akan main-main. (Parut terkena lawi ayam di atas belakang adalah memori yang tidak terlupakan).

Perkara ini, membuat latihan/praktis dengan betul seperti kejadian sebenar, boleh diaplikasikan untuk hampir setiap perkara.

Baru-baru ini saya menjadi imam…

Ada satu surah yang panjang, yang sudah saya hafaz. Kalau di luar solat, tebuklah dimana-mana ayat. Nescaya saya, in sha Allah dapat menyambung. Cuma, saya belum pernah membawa surah ini bersolat jahar (solat suara kuat), walau seorang diri.

Baru-baru ini saya menjadi imam, dan saya ingin tackle surah tersebut dalam bacaan. Saya gagal, mengulang-ulang rangkap ayat-ayat yang sama.

Pengajaran kepada saya, berlatihlah, praktis sepertimana kejadian sebenar.

Dan saya berpesan perkara sama kepada tuan.

Ramadhan yang manis

Hari ini, malam ini berlaku kelahiran anak bulan, merupakan hari terakhir Ramadhan.

Semalam ada tazkirah. Ustaz menyebut ada orang bergembira dan bergembira, dan ada orang yang bergembira dan bersedih.

Yang jenis pertama, bergembira Raya datang dan bergembira Ramadhan sudah berakhir.

Yang jenis kedua, bergembira Raya datang tapi pada masa yang sama bersedih kerana Ramadhan sudah berakhir.

Peluang menggandakan pahala sebegini hanya sebulan dalam setahun,

Dan dalam sebulan itu ada satu malam yang istimewa.

 

Ramadhan ini, Ramadhan yang manis.

Beberapa hari sebelum Ramadhan, isteri saya melahirkan zuriat kedua kami.

Kami namakan beliau dengan nama Anas.

Minggu pertama Ramadhan saya berulang-alik ke hospital kerana Anas dimasukkan ke hospital kerana sakit kuning.

Alhamdulillah, sekarang sudah beransur pulih walau dengan prolonged jaundice.

Yang paling bersemangat menjaga Anas adalah kakaknya yang seorang itu; Aufa.

Begitulah,

Anak-anak hadir dengan rezeki masing-masing yang sudah ditetapkan Allah.

info vs nasihat

Ada banyak perbezaan antara memberi maklumat dan memberi nasihat berguna.

1. Sekadar maklumat dan info semata-mata tidak akan membawa ke mana-mana. Nasihat ada matlamatnya (begitulah sepatutnya). Ia ada info+langkah.

2. Bagaimana memberi nasihat? Jadikannya spesifik. Nasihatkan pelanggan tuan: ‘Ini apa yang anda patut buat. Ini bagaimana anda patut buat. Ini kenapa anda patut buat.’

3. Secara asasnya, manusia percaya dan yakin kepada orang yang ada pegangan (walaupun pegangan itu salah).

4. Jadi, jika kita betul-betul prihatin dengan pelanggan, bantu pelanggan membuat keputusan dengan memberi nasihat yang spesifik.

Berlumba ke bawah

[post ini wujud folder draft. rupanya ia tidak terterbitkan]

Isteri saya memberitahu saya, ada orang menjual produk yang sama dengan produk kami, tapi pada harga yang lebih murah. Jawapan saya?

“Biarkan saya mereka.”

Asas perniagaan adalah: rendahkan kos serendah mungkin, dan jual semahal mungkin.

Jika sesuatu produk dijual semahal mungkin, maka biasanya tiada orang akan membeli. Tapi dengan kos yang kurang, barangan boleh dijual dengan harga yang lebih rendah. Kami boleh juga merendahkan kos kami dan jual pada harga rendah dan sama-sama berlumba ke bawah. Kesannya?

Kami akan menguasai pasaran! Kami mungkin buat untung seminggu-dua. Tapi, suatu hari, akan ada orang lain yang boleh jual lebih murah dari kami, dan akan ada orang yang boleh jual lebih murah dari dia…

Dan itu bukan model bisnes kami. Kami bina satu bisnes yang mampan.

Kerana itu, kami fokuskan produk kami kepada kualiti dan hubungan kami dengan pelanggan. Yang berduit akan beli dari kami. Yang tidak berduit akan kumpul duit dan beli dari kami. Dan akan beli lagi dan lagi.

Harga premium kami kekal. Terima kasih kerana sentiasa menyokong kami.

kek gebu

Gebu dan lazat dijamin atau wang dikembalikan. Penghantaran percuma sekitar Gombak.

Update: Tempahan ditutup sementara 🙂